Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 12: Adoi… Kaki bengkak di Makkah!



Travelog Haji 12: Adoi… Kaki bengkak di Makkah!


Beberapa hari sebelum keberangkatan, saya dan isteri mula menjalani latihan fizikal sebagai persediaan untuk ke Makkah. Kami keluar dari rumah dengan berjalan kaki menuju ke taman permainan lalu berjogging. Seringkali Aza tertinggal dibelakang dan saya mulalah mendesak supaya Aza jogging laju sedikit. 

“Aza, kita kena jongging dan jalan laju sikit supaya kaki kita akan terbiasa dengan perjalanan jauh nanti. Cepat..cepat sikit dan laju lagi” 

Itulah kata-kata aku apabila Aza selalu ketinggalan di belakang.
Kawasan Saei  Safa-Marwah. Tiada ibadat  Saei sunat.
kawasan Saei tidak dianggap sebagai kawasan masjidil Haram wlpn bersambung
beriktikaflah di kawasan Masjid Al Haram.
Gambar: Dikawasan disunatkan berlari-lari anak (ada lampu hijau diatas)
Pengalaman menunaikan umrah pada tahun 2000 sedikit sebanyak saya berkongsi dengan Aza iaitu jemaah perlu mempunyai keupayaan tenaga yang kuat untuk melakukan ibadah haji dan umrah. Untuk ke Masjid Al Haram perlu berjalan 1 km sehala dengan cuaca yang terik, tawaf sunat perlu bersesak-sesak dan tolak-menolak. Tempoh masa satu pusingan jika bertawaf di tingkat atas selama 12 minit satu pusingan. Ini bererti untuk melengkapkan 7 pusingan di tingkat atas memerlukan antara 1 jam 15 minit – 1 jam 20 minit. Saie berulang-alik antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali 450m sehala berjumlah 3.5 km. Melontar perlu berjalan kaki sejauh 7 km sehari untuk ke tempat melontar (haji sahaja). 

Jika keletihan atau uzur, boleh menyewa skuter elektrik di Tingkat Mezanine Al Haram
Keterujaan untuk melakukan ibadah  sebaik sampai di Makkah memang tidak dapat dibendung lagi. Setiap hati rutin kami akan bermula seawal jam 2.30 pagi untuk bersiap ke Masjidil Al Haram. Alhamdulillah, bilik air tiada masalah bagi ku kerana biasanya sayalah orang pertama yang akan bangun pagi. Biasanya jam 3 pagi kami bersama-sama berjalan kaki menuju ke Al Haram. Semua amalan sunat seperti solat-solat sunat,  membaca Al quran, berzikir dapat dilakukan dengan selesa kerana pada minggu pertama ketibaan kami jemaah seluruh dunia masih belum memenuhi Al haram. Kami akan balik ke hotel apabila sudah melakukan tawaf sunat dan solat Dhuha. Selang 3-4 hari sekali kami membuat Umrah sebelum tiba hari wukuf.

Selepas 5 hari di Makkah, kaki saya mulai terasa sakit. Kedua-dua belah kaki mulai bengkak dibahagian atas tumit. Setiap langkah terasa macam memijak duri yang tajam. Minyak urut yang dibawa dari Malaysia mula disapu dibahagian yang sakit. Tak cukup dengan itu, saya pun pergi ke Klinik TH Malaysia meminta ubat lain. Ubat yang sama juga diberi oleh Doktor. Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pergerakkan saya. Saya mula tidak selesa untuk melakukan tawaf sunat, malahan nak berjalan ke masjid Al Haram pun terasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian kaki.  Teringatlah saya kisah di Malaysia semasa saya berjongging bersama Aza

 “Aza.. laju sikit jongging, kat Makkah nanti kita perlu banyak berjalan kaki. Kaki kita perlu dibiasakan dengan berjalan supaya nanti di Makkah tidaklah rasa penat”  

Aku menggeleng kepala kerana Aza hanya berjalan dan tidak jogging!

Itulah kata-kata saya pada Aza setiap kali dia tertinggal dibelakang.. sudahnya, kaki saya yang bengkak, namun Aza sihat seperti biasa. Alhamdulillah, Allah masih sayang kepada saya untuk mengingati hambaNya bahawa sakit dan sihat itu adalah ujian dariNya. 

 Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamumu, tetamu yang paling istimewa. Permudahkanlah segala urusan kami utk menunaikan ibadat haji sebelum keberangkatan , semasa & selepas  berada di tanah suci, berikanlah kami kesihatan yang terbaik sepanjang berada ditanah suci, jauhailah kami dari kecederaan, kemalangan dan rempuhan manusia dan permudahkanlah urusan makan dan minum kami.

Sempadan tanah haram di Masjid Aisyah (Masjid Tanaem)
Ini adalah tempat Miqat paling hampir dari Masjid Al Haram (7 km)
Walaupun kaki  bengkak dan menyukarkan perjalanan kaki, Alhamdulillah saya berjaya juga membuat 2 kali umrah dalam tempoh kesakitan kaki. Saya memakai selipar jepun untuk dipakai semasa tawaf dan saie untuk mengurangkan hentakan pada tumit. Walaupun jarak Safa ke Marwah tidaklah terlalu jauh, namun saya terpaksa berehat 3 kali untuk menghabiskan Saie. Semasa Saie, saya sudah terbayang untuk menyewa kerusi roda untuk menghabiskan Saie. Sakitnya mencucuk-cucuk seperti dicucuk duri setiap langkah.   Memang ini adalah ujian Allah bagi hambanya yang lalai. Teringat saya kisah semasa jogging bersama Aza sebelum berangkat ke Makkah. Apakah ini ‘bayaran tunai’ dari Allah?  Allah masih sayang kepada hambaMu ini. Saya masih mampu berjalan dengan perlahan-lahan walaupun terasa mencucuk-cucuk.  
Dari tingkat atas Hotel Qasr. Nampak dekat, tapi 1 km jauh ke Al Haram.


Saya melihat bengkak di kaki sesuatu yang positif.   Selepas pulih dari bengkak, saya merasa lebih ligat lagi untuk berjalan. Rasa sakit sudah tiada, malah kaki ku sudah menjadi lebih kuat dan tidak berasa lenguh untuk berjalan kemana-mana. Malahan,  perjalanan menuju ke tempat jamrah sejauh 7 km, saya menawarkan diri untuk menolak kerusi roda jemaah yang uzur yang saya jumpai di tengah jalan.

Alhamdulillah, setiap kejadian ada hikmahnya. Alllah maha menyayangi hambanya yang bersyukur. Kesakitan kaki di peringkat awal sampai ke Makkah adalah penawar untuk saya sepanjang berada di Makkah. Saya boleh berjalan dengan lebih laju untuk menuju ke Masjid Al Haram.


Dapatkan teks penuh Travelog dengan email ke msyazli@gmail.com

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:


Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment