Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 27 : Pengertian Haji Mabrur

Travelog Haji 27 : Pengertian Haji Mabrur

Apabila orang mengetahui yang kita akan mengerjakan haji, maka kata-kata yang paling selalu diucapkan ialah "Moga peroleh Haji Mabrur". Apakah Haji Mabrur? Secara mudahnya, ialah Haji yang diterima oleh Allah SWT. Semasa taklimat TH di Madinah antara tanda mendapat Haji Mabrur, mereka menjadi insan yang lebih baik dari sebelum menunaikan haji.

Dari Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, 

“Umrah satu ke umrah lainnya adalah penebus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada pahala baginya selain syurga.” (HR. Bukhari dan Muslim).

“Ya Allah aku mohon padamu agar aku menjadi manusia yang lebih baik disisimu ya Allah. Dekatkanlah diriku dengan mu. Mudahkanlah aku beramal ibadat kepada mu sebagaimana aku dapat melakukannya semasa di Makkah dan Madinah”

Permandangan Kompleks Masjidil Haram dari Hotel Penginapan Qasr Al Janadriyyah


Ibadah haji adalah satu pengembaraan rohani yang sangat luar biasa dan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang kehidupan. Malahan jika diberi peluang untuk mengulangi, pasti kami akan  merebutnya lagi. Mengapa?

“Ya Allah semoga aku terus beristiqamah solat berjemaah, kau bimbinglah aku, ajari aku dan berikanlah ku ilham untuk terus beramal ibadat kepadamu"

Syukur, kami tidak berjumpa satu pun ‘pembalasan tunai’ seperti yang sering  diceritakan orang. Malah tidak pula terasa sebarang kesukaran yang teruk sehingga kami serik untuk berkunjung kembali bagi menunaikan haji dan umrah sunat pada masa-masa akan datang. Hakikat sebenar, kami menyaksikan kekuasaan dan kehebatan Allah.  Kami melihat dan merasai bagaimana sifat maha pengasih dan maha penyayangnya diberikan kepada setiap jemaah haji termasuk kami berdua. Ia perasaan hebat yang sangat luar biasa.

“Ya Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan dikau. Kaulah Tuhan yang maha esa. Ya Allah, kaulah yang kami sembah, tempat kami bergantung harap, tiada sekutu bagimu ya Allah, malah tiada sesiapa yang setara dengan mu ya Allah. Ampunilah aku  ya Allah di atas segala kekhilafan kami ya Allah”   

Sebulan sebelum berangkat ke Makkah, Aza telah meletakkan jawatannya disalah sebuah Bank. 3 hari sebelum kami berangkat ke Makkah adalah merupakan hari terakhir Aza bertugas. Perberhentian kerja ini adalah pilihannya sendiri. Insyaallah rezeki Allah itu luas dan mudahan Allah menggantikan dengan yang lebih baik dari kerjaya di Bank. Tugasannya Aza di bank  tidak boleh lari dari amalan riba. 

Khutbah terakhir Rasullullah pada 9 Zulhijjah 10H di lembah Uranah, Arafah menekankan untuk menjauhi riba, Antara petikan khutbah terakhir Rasullullah,

“Ingatlah, bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhanmu dan Dia pasti akan membuat perhitungan segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba hendaklah dibatalkan mulai sekarang”

Insyaallah, kami berusaha untuk mencari rezeki  yang lebih baik.

“Ya Allah, cukupkanlah aku dari apa yang halal, tanpa perlu kepda yang HARAM, Kayakanlah aku dengan kurniaanMu, tanpa mengharapkan selain mu”

Inilah doa yang diajarkan oleh Rasullullah  SAW kepada Ali RA, jika mempunyai hutang sebanyak Bukit Thabir maka Allah akan menunaikan Hutang tersebut. Bukit Thabir adalah bukit yang terletak di Mina menghadap ke Makkah.


Di Mina. Mungkin bukit dibelakang kami adalah bukit Thabir seperti dalam Hadis Rasullullah


Apa Khabar Haji? Sihat Haji? Syukur, Eh, Haji dah balik.... Tn Haji, Pak Aji ... Hmmm
Ini adalah gelaran yang merimaskan aku. Seringkali aku mengingatkan kawan-kawan agar jangan memanggil aku Tn. Haji, namun mereka akan membalas, 
“Bukan senang nak dapat Haji sekarang ni” 
Ada juga yang menasihatkan saya “Sekurang-kurangnya bila kita  panggil awak Haji, nak buat dosa ada rasa bersalah” 

Kekadang aku mendiamkan sahaja. Aku takut gelaran ini kelak boleh menimbulkan perasaan riak dan ujub pada diri ku yang hina ini.  Jauh di sudut hari saya risau dengan cabaran yang bakal kami terima selepas menunaikan Haji. Saya cuba ikhlaskan hati ini dalam melakukan ibadah. Aku cuba beristiqamah untuk solat berjemaah terutama Subuh dan Isyak.

"Ya Allah, permudahkan amal ibadat ku sebagaimana kau permudahkan semasa kami di Makkah & Madinah."

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.  [Surah Al-Imran 8:3]

Sekali lagi, saya menyeru kepada semua pembaca agar pertimbangkan, niat untuk menunaikan haji pada usia sebelum persaraan kerana ibadah haji menuntut kekuatan fizikal dan spiritual (kerohanian) yang kuat. Mereka yang mempunyai tenaga, dalam dan luar ada kelebihan bagi menyempurnakan ibadah dengan lebih sempurna. Namun, kerohanian lebih dituntut agar kita tidak leka dan lalai  dalam melakukan ibadah. 
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:




Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment