Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 8: Hari Keberangkatan: Pakai Ihram atau Baju?




Travelog Haji 8: Hari Keberangkatan: Pakai Ihram atau Baju?

19 Ogos 2016 merupakan hari yang tidak akan dilupakan buat kami berdua. Inilah hari yang keberangkatan kami ke Tanah suci bagi menunaikan rukun Islam ke 5.  Penerbangan kami KT26 adalah penerbangan pertama jemaah Malaysia ke Makkah. Penerbangan awal iaitu  KT1 hinga 25 ke Madinah terlebih dahulu. 4 hari sebelum keberangkatan saya dah mengambil cuti bagi membuat semua persediaaan fizikal dan kerohanian.  Macam-macam terfikir di kepala walaupun telah buat checklist perkara yang perlu dibuat. Paling penting sekali, saya cuba  hubungi rakan-rakan, whatapps, email kepada kenalan-kenalan memohon kemaafan supaya perjalanan kami mendapat kerahmatan dari Mu Ya Allah. 

Yang paling saya tak dapat lupakan, saya menghantar email kepada Pengarah Taman Pertanian UPM kerana semasa 6 tahun saya belajar di UPM, ladang Durian UPM beberapa kali ‘diteroka’  kami pelajar kolej kediaman ke -6 yang mana lokasi ladang durian betul-betul sebelah kolej kediaman kami.  Semasa saya belajar di UPM,  TNC HEP pernah berucap semasa minggu orientasi kami:

 “Kalau mahasiswa di UPM dan tak pernah makan durian UPM, kamu memang bodoh, tapi kalau kena tangkap 2 kali bodoh”

Kata-kata ini seringkali di tafsirkan oleh kami sebagai orang muda  ketika itu merupakan satu cabaran supaya pergilah ke ladang durian UPM dan ambillah durian… tapi asalkan jangan kena tangkap sudahlah. Semasa saya belajar, harga durian tidaklah semahal seperti sekarang (2016).. harga ‘pangkal’ sekitar RM1-1.50 sahaja sekilo, malahan kalau musim durian sedang memuncak, mungkin jatuh dibawah RM1 sekilo.

 Saya menulis email kepada Pengarah Taman Pertanian UPM. Emailnya begini:

 “Ketika zaman belajar dahulu, saya & rakan-rakan telah beberapa kali memasuki kawasan kebun durian UPM dan mengambil durian untuk dimakan bersama rakan-rakan"
Saya merasakan perbuatan tersebut satu kesilapan dan saya mohon dimaafkan dan di halalkan apa yang telah saya ambil dan makan dari ladang UPM semasa masih belajar satu ketika dahulu. Mohon maaf & minta dihalalkan."

Email saya mendapat respond pada hari yang sama dan Pengarah Taman Pertanian UPM. Balasnya begini (tanpa ubah):
Dihalalkan. Jika sudah mengetahui kesilapan yang lepas dan bertekad tidak membuat lagi serta memohom dimaafkan merupakan suatu perbuatan yang mulia. En Syazli saya doakan moga amalan macam ini yang kita hendak dan moga maju jaya kehadapan.”

Selepas mambaca email tersebut timbul satu perasaan yang begitu lega lahir dari diriku. Syukur, Inilah hikmah Haji! Segalanya dipermudahkan. 

Saya telah menyiapkan keperluan barang-barang keperluan dan masukkan dalam beg 2 hari sebelum berangkatan dengan membayangkan ramai waris akan datang ke rumah untuk menghantar kami nanti. Satu persoalan yang timbul kepada saya iaitu baju apakah yang akan di pakai semasa berangkat nanti? Saya akan ke Makkah terlebih dahulu dan kami perlu berniat umrah & berihram dalam Pesawat. Dimana nak pakai Ihram? Nak pakai dari rumah? Di Senai? Di surau Airport Senai atau Di Airport KLIA atau dalam pesawat?  Puas saya bertanya rakan-rakan seangkatan, namun semuanya kebingungan. Penerbangan kami adalah pertama ke Makkah dan tahun ini adalah tahun pertama jemaah dari Johor transit di KLIA. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berpakaian biasa semasa berangkat dari rumah.
Bersama Abah dan Mama yang turut menghantar kami di Senai Airport
Persoalan memakai ihram ini masih tidak dapat dijawab sehinggalah pada hari keberangkatan di Senai Airport.  Ketika sedang solat Isyak di Masjid Senai Airport, saya mendapat mesej dari adik Ipar yang telah berada di Airport bahawa TH telah membuat pengumuman  Jemaah digalakkan untuk memakai ihram semasa di Senai lagi. Saya pun terus menukar Ihram di Masjid Senai sebelum menuju ke Airport.

Hampir semua ahli keluarga saya & ipar duai turut menghantar kami ke Senai Airport. Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih ku untuk  meninggalkan anak-anak kami semasa di rumah. Kami menangis sambil berpelukan dengan anak-anak. Tidak pernah dalam sejarah mereka kena tinggal lebih dari 40 hari. Inilah pengorbanan haji anak-anak ku. Bersabarlah sayang. Doakan Ayah dan Mama semoga selamat dan dipermudahkan urusan ibadah.
Hari keberangkatan di Airport Senai bersama keluarga
Ya Allah, kau jagalah keselamatan dan kesihatan anak-anak kami sepanjang kami menjadi tetamu Mu. Janganlah mereka mengusahkan Atuk dan Nenek mereka. Jangan cetuskan perasaan rindu mereka terhadap kami.Bukakanlah hati mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
Inilah doa yang sering saya bacakan sebelum berangkat

Perjalanan ku ke Makkah merupakan perjalanan yang panjang. Kami mendaftar di Senai pada jam 9 malam. Penerbangan dari JB ke KLIA ialah pada jam 1 pagi. Ketika di Senai Airport, kami disaring lagi dengan pemeriksaan kesihatan dan diberi lagi taklimat keberangkatan oleh Pembimbing Haji Ustaz Abu Bakar Watak.  Setiausaha Kerajaan Negeri Johor & isteri turut menghantar kami sehingga ke pintu perlepasan di terminal.
Transit  di KLIA  menunggu penerbangan ke Jeddah

Ketika sampai di KLIA, penerbangan dari Senai KT26J   bergabung dengan jemaah dari Terengganu KT26T dan Pulau Pinang KT26P. Penerbangan dari KLIA ke Jeddah akan bertolak jam 5 pagi dan dijangkakan akan sampai di Jeddah pada  jam 9.30 pagi waktu Saudi (2.30 petang Malaysia).

Setibanya di Jeddah, Alhamdulillah, Jemaah penerbangan KT26 tidak menghadapi apa-apa masalah di Imigresen Jeddah. Segalanya berjalan dengan lancar dan hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit untuk pemeriksaan Imigresen. Yang menjadi lambat ialah menunggu beg dan menunggu pergerakkan bas ke Makkah.  Kami di Jeddah disambut pula oleh Konsul Malaysia di Jeddah dan ada ucapan Selamat Datang dari Kedutaan Malaysia di Jeddah. Akhirnya sampai juga kami ke Hotel lebih kurang jam 4 petang dan pegawai TH memaklumkan umrah wajib  akan dibawa oleh Muassasah dan Pembimbing Haji Tanah suci  pada jam 9 malam iaitu selepas Isyak. Alhamdulillah, Umrah wajib berjaya di habiskan sebelum jam 12 malam dan kami balik ke hotel dan menukar baju.

Bermula dari jam 9 malam di Senai hinggalah sampai ke Hotel di Makkah, Keseluruhan tempoh perjalanan ialah selama  24 jam!  Kami mempunyai 20 hari lagi sebelum hari wukuf ketika sampai di Makkah.


Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com.

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:


Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment