Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 24: Hari-hari Terakhir di Madinah



Travelog Haji 24: Hari-hari Terakhir di Madinah

Masa berjalan begitu pantas sekali. 8 hari di Madinah terasa sekejap berbanding 35 hari di Makkah. Rakan-rakan jemaah sudah mula bersiap-siap dan berkemas. Kami perlu menghantar beg bagasi 1 hari lebih awal ke Lapangan Terbang bagi memudahkan urusan daftar ke pesawat. Wajah-wajah ceria  sudah jelas kelihatan dikalangan jemaah dan mula bercerita mengenai urusan tugasan, anak-anak dan masakan  Malaysia. Tempoh 47 hari terasa begitu cepat sekali.

Saya sendiri tidak dapat memberikan perasaan sebenar, Bercampur-baur antara ingin meninggalkan bumi Madinah dan kerinduan kepada anak-anak. Siapa yang tidak rindu pada anak apatah lagi empat anak yang ku tingglkan masih kecil lagi dan perlukan kasih sayang ibu dan ayah. Anak-anak ku berusia 13, 10, 8 dan 4 tahun masih lagi terlalu kecil untuk memahami pengorbanan Haji yang sebenarnya. Iffah mungkin sudah memahami, namun tetap merasakan yang kami pergi terlalu awal berbanding dengan Nenek dan Atuknya yang pergi ketika semua adik-beradik Aza sudah dewasa.

Permandangan indah didalam Masjid Nabawi

Kain Ihram ku sebanyak 4 helai  sudah memenuhi separuh beg. Hendak ditinggalkan terasa sayang. Lagi pun 2 kain ihram saya pinjam dari Abah. Akhirnya saya membuat keputusan untuk pos sebahagian barang ke Malaysia kerana bag sudah tidak boleh memuatkan barang-barang kami dan pastinya barang yang saya pos bukanlah barang-barang yang dibeli, tapi baju-baju lama dan kain ihram. Ini kerana barang yang dipos mungkin tidak sempat sampai ketika kami tiba di tanah air. Cenderahati, kurma, kacang, jubah yang dibeli di Makkah dan Madinah dibawa balik bersama menaiki pesawat.

Ramai antara Jemaah jumlah begnya bertambah, malahan ada jemaah yang bayaran pos hampir SR1,000, ini tidak termasuk harga barang yang dipos. Saya hanya pos 1 kotak saiz sederhana dengan bayaran pos kurang dari SR130. Jumlah beg kekal 2 sahaja iaitu beg bagasi dan beg bimbit. Barang-barang jualan yang ada di Makkah dan Madinah tidak banyak menarik perhatian saya. Semasa di Makkah, kami pun sudah pos 8 tong Air Zam-zam (10 liter) ke saudara-mara dan teman di Malaysia dan mereka dah pun menerimanya. Bagi ku inilah cenderamata (air zam-zam) yang memang tidak ada di Malaysia.

Ada jemaah begnya bertambah. Bisnes Pos Malaysia semakin maju dan setiap hari menimbun kotak-kotak yang telah siap untuk di pos ke Malaysia. Antara istilah-istilah yang sering di gunakan oleh jemaah  berseloroh untuk bershopping di Madinah ialah,

 “Nak pergi tawaflah”
”Tawaf apa? – Tawaf KeeDai lah
“Nak pergi melontar, tapi batu dah habis. Batu kat simpanan pun dah habis. (Batu merujuk kepada duit simpanan di TH. Kaunter TH dibuka sehingga jam 10 malam setiap hari!)
Masjid Nabawi

Hakikatnya, tiada ibadah tawaf dan melontar ketika di Madinah. Yang ada ialah melontar Riyal dan tawaf KeeDaai. Walaupun tawaf dan melontar cara ini tidak diajar semasa berkursus,  namun jemaah Malaysia tetap bijak melaksanakan dan mencari tempat ‘melontar’ yang terbaik  walaupun tanpa mutawif malahan semasa di Makkah pun, 2 perkara ini tetap menjadi kegemaran jemaah Malaysia sehinggakan hampir semua pekerja-pekerja kedai di Makkah dan Madinah boleh berbahasa Melayu dengan baik. 

Nak bersolat ke Masjid Haram dikatanya panas...jauh, sakit kaki... nak jaga kesihatan sebelum wukuf,  tapi pergi ‘melontar’ boleh pulak.  Anda fikirlah sendiri.  Aku no komen!



Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment