Thursday, December 8, 2016

Travelog Haji 7: Mengintai Penerbangan Pertama di Senai



Travelog Haji 7: Mengintai Penerbangan Pertama di Senai

Apabila mulai masuk 1 Zulhijjah, kumpulan haji pertama memulakan penerbangan pertama.  Di Johor penerbangan pertama ialah KT3 ialah pada malam 2 Zulhijjah 1437. Saya dan isteri berhasrat membawa anak-anak ke Lapangan Terbang Senai untuk melihat suasana sanak-saudara menghantar ahli keluarga mereka menunaikan haji. Pada mulanya anak-anak seolah-olah tidak berminat untuk ikut sama, namun setelah saya memujuk yang kita akan makan malam di KFC Airport, semua anak-anak amat teruja untuk pergi.
Suasana di Senai Airport semasa Penerbangan Haji Pertama

Sampai sahaja ke Senai, saya singgah ke Masjid Airport Senai bagi menunaikan solat Isyak terlebih dahulu. Agak kehairanan juga kerana tidak ramai yang solah isyak secara berjemaah. Hakikatnya Masjid Airport ini adalah masjid tanpa Kariah. Hanya ada kilang dan kedai-kedai disekeliling Masjid. Mungkin agaknya jemaah-jemaah haji dah sampai lebih awal dan solat Jamak Maghrib dan Isyak. Selepas solat, saya terus ke Terminal Airport dan mencari tempat pakir di kawasan Pakir. Langsung tiada ruang kosong untuk  pakir. Akhirnya saya keluar semula dan meletakkan kenderaan di tepi jalan sahaja.

Memang sengaja saya mengajak anak-anak yang seramai 4 orang   untuk melihat suasana menghantar orang ke Haji kerana kami tidak berhasrat untuk membawa anak-anak semasa kami berangkat nanti.Macam-macam kami nak fikirkan pada masa keberangkatan nanti. Perkara yang paling risau sekali ialah kami takut anak-anak terlalu sedih hingga boleh menyusahkan kelak waris-waris kami jika kami membenarkan mereka turut menghantar kami. Jadi, supaya tidak menyusahkan orang lain, kami berdua sepakat agar  semua anak-anak tidak ikut menghantar ke Airport pada hari keberangkatan nanti.

Di tempat pendaftaran di Senai Airport pada Penerbangan Haji Pertama

Semasa mengintai penerbangan pertama Haji di Airport Senai, kami menerangkan kepada anak-anak beginilah suasana nanti apabila ayah berangkat nanti. Ramai orang dan keadaan agak sesak di terminal. Iffah mula sedih dan menangis…Dia telah dapat memahami agaknya dan telah dapat membayangkan ketiadaan kami berdua nanti selama 48 hari nanti. Kami akan berangkat lagi 2 minggu. Sabarlah anak-anak  ku. Ibadah Haji memang memerlukan pengorbanan. Ya Allah, Kami datang pergi menyahut panggilanMu.

Ya Allah, tenangkan dan berikanlah kesabaran kepada anak-anak kami. Jangan kau cetuskan perasaan rindu mereka kepada kami sepangjang kami berada di tanah suci. Janganlah mereka menyusahkan Atuk dan Nenek mereka semasa ketiadaan kami.

 Inilah doa yang saya baca  hampir tiap hari  3-4 bulan sebelum keberangkatan.
Dapatkan full version Travelog Haji dari msyazli@gmail.com. PERCUMA

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:


Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment