Thursday, December 8, 2016

Travelog Haji 4: Gagal Pemeriksaan Kesihatan

Travelog Haji 4: Gagal Pemeriksaan Kesihatan

Selepas habis kursus haji sebanyak 17 siri dan kursus intensif haji, kami perlu membuat pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan adalah perkara wajib dibuat oleh semua Jemaah haji kerana perlu mengambil suntikan Meningococcal Meningitis Quadrivalent satu vaksin yang bertujuan untuk mencegah penyakit radang pada selaput otak dan saraf tunjang. Vaksin ni diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan visa haji atau umrah dikeluarkan.  Bukan itu sahaja, Jemaah perlu membuat ujian darah seperti jenis darah, kandungan gula dalam darah, Platlet darah, tekanan darah, melalui temuduga oleh doktor dan selepas melalui semua itu, barulah suntikan akan dibuat.

Saya memilih membuat pemeriksaan  di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana perkhidmatan yang disediakan percuma. Hari pemeriksaan kesihatan hanya dikhaskan untuk Jemaah Haji sahaja dan dibuat pada hari Sabtu. Alhamdulillah, saya melepasi semua ujian kesihatan dan suntikan haji diberikan. Buku rekod kesihatan diambil oleh Pegawai TH namun isteri ku, Aza gagal pemeriksaan kesihatan kerana bacaan tekanan darah tinggi. Doktor yang memeriksa isteriku seorang wanita yang berbangsa Tionghua berkata semasa pemeriksaan isteriku, 

“Semua orang nak pergi, tapi  ramai  yang tahap kesihatan tak ok” 

Kata-kata tersebut mungkin agak menghiris hati Aza hinggakan hampir mengalir air matanya apabila keluar dari bilik Doktor. Ya.. kami betul-betul telah bernekad dan memasang niat yang kuat untuk menunaikan Haji tahun ini. Banyak persiapan telah dibuat. Ya Allah… kau berikanlan isteri ku kesihatan yang baik supaya kami sama-sama dapat menunaikan haji pada tahun ini. Rupa-rupanya memang ramai rupanya bakal Jemaah pada hari tersebut yang gagal dalam pemeriksaan kesihatan terutama warga tua. Patutlah Doktor Tiounghua tersebut membebel-bebel pada  Aza.

Aza perlu mengambil ubat darah tinggi dan melalui beberapa pemeriksaan doktor dan mengambil tekanan darah setiap hari sebelum bertemu doktor semula untuk pengesahan. Maka ulang-aliklah isteriku bertemu doktor di klinik untuk membuat pemeriksaan dan mengambil tekanan darah. Kebetulan, kami memang ada alat tekanan darah tinggi di rumah.. jadi bacaan BP akan diambil dirumah sahaja.

Dapatkan Travelog Haji full version email kepada  msyazli@gmail.com. GRATIS!


Syukur, selepas  hampir tiga minggu, tekanan darah kembali normal, doktor pun membuat pengesahan sihat dan Aza dapatlah membuat suntikan Haji… Alhamdulillah. 

Selepas urusan pemeriksaan selesai dan buku kesihatan pun di serahkan kepada pihak TH, kami menerima pula surat dari TH untuk penyerahan Pasport antarabangsa untuk membuat Visa Haji. Oleh kerana umur Aza kurang 45 tahun, beliau perlu mendapatkan cop pengesahan sijil nikah dari pejabat Kadi  mengenai status pernikahan kami dimana saya sebagai suami akan menjadi Mahram. Oh... panjang juga proses untuk membuat visa haji. Perlu diingat, selepas menghantar passport ke Tabung Haji (2 bulan sebelum penerbangan), pasport tersebut akan hanya di serahkan pada Jemaah pada hari penerbangan. Ini bermakna, anda tidak boleh keluar negara selepas menyerahkan passport ke TH (sebenarnya boleh ambil semula passport, namun prosesnya bukanlah sesuatu yang mudah kerana visa haji di buat di Kedutaan Saudi di Kuala Lumpur)


***


Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:


Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment