Friday, December 9, 2016

Travelog Haji 21: Madinah yang Damai




Travelog Haji 21: Madinah yang Damai


Suasana di Madinah agak kontra dengan Makkah. Kami sampai di Madinah jam 11 malam dan terus menuju ke tingkat hotel masing-masing. Petugas TH amat efisyen. Wajarlah TH mendapat anugerah Pengurusan Haji terbaik Dunia. Nama Hotel, nombor bilik, Nombor Bas dan rakan sebilik telah diketahui di Makkah lagi. Kalau di Makkah saya berempat sebilik, di Madinah kami berlima. Tidak ada masalah, malahan satu kebaikan kepada saya kerana lebih ramai kawan, lebih luas silaturrahim . Semua rakan sebilik di Makkah kekal dan pertambahan Abang Atan. Saya sudah mengenali beliau kerana kami sekhemah semasa di Mina.
Masjid Nabawi. Dibawah Kubah Hijau adalah Makam Rasulallah, Abu Bakar RA dan Umar RA

Kalau Di Makkah kami terpaksa berjalan hampir 1 km untuk ke Masjid Al Haram, tapi di Madinah hanya beberapa langkah sahaja sudah sampai ke pintu pagar Masjid. Tiada surau di Hotel dan semua Jemaah perlu solat di Masjid Nabawi. Diawal tiba di Madinah terasa kekosongan. Tidak perlu berebut saf, tiada tawaf, tidak perlu berjalan jauh ke Masjid, banyak kedai-kedai berada disekeliling Hotel. Kalau dibandingkan di Makkah, perjalanan dari Hotel-Masjidil Haram tidak banyak kedai kerana lokasi hotel kami dikawasan pembesaran Masjid Al Haram.

Di Masjid Nabawi

Hari pertama dan hari kedua di Madinah kami di bawa oleh Mutawif TH untuk ziarah sekeliling Masjidil Nabawi, Baqi, menunjukkan  Maqam Rasulullah dan Raudah. Hari kedua dibawa ke Bukit Uhud,  Masjid –masjid bersejarah di Madinah, Kebun Kurma dan bersolat di Masjid Quba. Hari-hari seterusnya adalah aktiviti bebas dan Jemaah boleh melakukan ziarah secara sendirian.
Hari ketiga. Banyak masa santai semasa di Madinah. Kalau diikutkan, bila dengar sahaja azan, kita masih mampu solat berjemaah di Masjid Nabawi kerana jarak Masjid dan Hotel hanya  dalam 100 meter sahaja. Hari ini selepas subuh, Saya mengajak isteri ku untuk solat Dhuha di Masjid Quba. Kenapa Masjid Quba?

Antara kelebihan solat di Masjid Quba ialah disebut dalam Surah Al-Taubah (108). Dan lagi Allah menyebut adanya orang yang suka membersihkan diri mereka yang bersolat disitu. Bersih disini bermakna suka bertaubat, istighfar, memohon ampun pada Allah. Semoga kita juga termasuk dalam golongan itu semasa kita bertandang ke Masjid Quba’

Di Masjid Quba'

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih  (At Taubah 108)

Jika kita bersolat dimasjid Quba’ mendapat pahala seperti mengerjakan umrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW

“Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah”[HR Ibn Majah]

Namun saya berasa begitu kecewa, kami gagal mencari lagi 2 orang lagi teman untuk memenuhkan teksi dan tiada van yang khusus membawa Jemaah ke Masjid Quba. Akhirnya masa hari ketiga berlalu begitu sahaja dan kami melencong untuk mencari pasar kurma sebagai buah tangan untuk teman-teman di Malaysia. Sebagai makluman, untuk ke Pasar Kurma di Madinah, anda perlu keluar dari pintu gate 6 dan berjalan terus kehadapan dan pasar tersebut terletak di belakang salah sebuah hotel. Ada lebih dari 40 kedai kecil dan harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari kedai-kedai di hotel penginapan. Sebagai contoh, kami dapat membeli kurma Ajwa (kurma Nabi) hanya SR30 sekilo berbanding harga diluar  antara SR50-SR80. Harus diingatkan Kurma Ajwa ada banyak gred, namun harga diluar pasar tiada yang dibawah SR50.


Dalam Masjid Nabawi. Payung sedang ditutup

Hari Keempat dan seterusnya saya bernekad untuk pergi juga ke Masjid Quba walaupun tidak cukup korum. Saya mula mengajak rakan-rakan sekeliling bilik untuk bersama-sama kami ke Masjid Quba pada keesok harinya. Kalau cukup 7 orang, kami boleh pergi menaiki Toyota Innova dan bayaran satu Innova sekitar SR70. Jadi, seorang hanya  perlu bayar SR10 sahaja untuk tambang pergi dan balik.  Alhamdulillah, saya berjaya mempengaruhi beberapa jemaah untuk  mendapat 7 orang rakan ke Quba dan lebih bertuah lagi tambang teksi kami hari itu ditaja oleh Hj Aziz, rakan sebilik saya. Mungkin sebagai tanda kesyukuran beliau yang telah menjumpai semula handphonenya yang keciciran semalam.

Hari-hari berikutnya, beberapa van telah mula menunggu Jemaah di hadapan Hotel untuk dibawa ke Masjid Quba dan van akan berangkat bila telah dipenuhi. Tak sampai 10 minit menunggu, sekejap sahaja van dah penuh.  Tambang tetap sama iaitu SR10 seorang. Alhamdulillah, saya tak perlu lagi saya mencari orang untuk ke Quba, sebaliknya pemandu van akan memanggil-manggil Jemaah untuk memenuhkan vannya. Selama 8 hari di Madinah, saya dapat solat di Masjid Quba sebanyak 6 kali. Mudahan dengan rahmat Allah dapatlah ganjaran 6 umrah.  Syukur kehadirat Allah, kami dapat menyempurnakan 40 waktu solat di Masjid Nabawi.
Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, 

"Sesiapa sembahyang di masjidku 40 sembahyang (dengan syarat) ia tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (ia juga akan bersih) dari sifat munafik."


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Aku bersyukur atas segala nikmat dan rahmat mu.
Dapatkan teks penuh Travelog Haji dengan email kepada msyazli@gmail.com. PERCUMA
Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:





Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment