Thursday, December 8, 2016

Travelog Haji 3: Surat Jemputan Haji

Travelog Haji 3: Surat Jemputan


Ketika musim haji tahun 2015, saya menerima undangan kenduri doa selamat dari jiran yang akan berangkat ke tanah suci. Dari perbualan saya dengan tuan rumah, beliau memberitahu yang dia mendaftar haji pada tahun 2007 dan bakal Jemaah yang daftar dari Januari- Jun akan menerima surat panggilan Haji 2015. Perkhabaran dari jiranku  ini membuatkan saya berasa jantung saya berdebar-debar… saya pun mendaftar tahun 2007 namun belum terima apa-apa surat dari TH pun. Entah-entah seminggu dua lagi dapat surat dari TH. Bulan apa saya mendaftar  pda tahun 2007? Semasa membaca yassin dan tahlil hati saya mula rasa tidak tenteram. Rasa teruja pun ada juga. Kalau minggu depan terima surat panggilan haji, bersediakah aku? Adakah saya akan terima surat panggilan tahun ini? Atau tahun depan saya akan dipanggil? 

Ilmu Haji memang tak banyak. Kursus haji langsung tak pergi.. pada ketika ini mula teringat pesanan Abah supaya pergi ke kursus haji awal bagi memantapkan ilmu haji. 
  
Sekembalinya saya ke rumah pada malam itu, saya terus memberitahu isteriku mengenai perkara tersebut. Kami pun mendaftar tahun 2007, tapi bulan apa? Saya terus menyemak di laman web TH di www.e-thijari.com.my  mengenai giliran haji. Syukur, tertera di skrin yang kami dijangkakan Jemaah terpilih pada tahun 2016 iaitu lagi setahun. Tidak cukup dengan pengesahan dari web, tidak lama selepas itu, saya ke pejabat TH pula untuk mengetahui status giliran kami. Ya, petugas kaunter menyatakan giliran kami ialah pada tahun 2016. Alhamdulillah…  saya pun mula pasang angan-angan yang kami akan menerima surat jemputan pada tahun 2016.


Pada November 2015, kami menerima surat dari Tabung Haji…  Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... penantian selama 9 tahun nampak sudah hampir sampai penghujungnya. Saya dan isteri adalah jemaah haji terpilih bagi tahun haji 1437H atau tahun 2016M. Tidak ada kata-kata yang yang boleh menggambarkan perasaan kami ketika itu.  Abah sudah sering berpesan supaya pergi ke kursus haji walaupun giliran belum sampai lagi. Tujuannya supaya ilmu haji itu mantap sebelum berangkat… tapi hakikatnya saya terpaksa seringkali bertugas pada hujung minggu dan menyukarkan ku untuk meninjau kursus Haji yang diadakan pada hujung minggu.

Surat Tawaran sebagai Jemaah Terpilih 2016. Alhamdulillah. Penantian giliran selama 9 tahun





Kursus haji bermula pada 1 Januari 2016 selama 17 siri. Saya mempunyai pilihan untuk memilih lokasi dan hari berkursus kerana di Johor Bahru terdapat 6 lokasi kursus haji dijalankan pada hari yang berbeza-beza iaitu Jumaat, Sabtu dan Rabu malam.  Hari dan lokasi yang berbeza memang banyak membantu saya yang seringkali terpaksa bertugas outstation pada hujung minggu. Kursus haji yang pertama saya memilih untuk ke Masjid Kg Melayu Majidee yang diadakan pada haru Jumaat. Kedudukan Masjid ini yang agak jauh dari rumah ku. Pemilihan kursus pada Jumaat kerana saya akan menghantar Iffah yang telah diterima ke Tingkatan satu  ke sekolah asrama pada Sabtu.

Jadual kami pada Sabtu agak padat. Seringkali  dalam dilemma untuk pergi kursus haji bersama isteri  kerana  cuti mingguan saya ialah pada  hari Jumaat & Sabtu dan isteri pula cuti Sabtu  & Ahad. Hari Sabtu pula  Iffah  perlu hadir ke Kelas Agama Darjah Khas (Di Johor sahaja ada Peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama). Saya perlu mengambilnya dari asrama setiap minggu untuk membolehkan Iffah hadir ke kelas Darjah Khas di sekolah agama berhampiran rumahku. Jika kami memilih untuk pergi kursus pada hari Sabtu, kami perlu membawa anak-anak lain yg berusia 9,  7 dan 3 tahun ke Masjid untuk sama-sama berkursus. Jika saya memilih kursus hari Jumaat, pun sama juga perlu membawa anak-anak mendengar kursus.

Jadual kursus kami sentiasa berubah-ubah setiap minggu. Jika saya pergi pada Jumaat, Iffah yang sudah berusia 13 tahun perlu menjaga adik-adiknya dirumah kerana isteriku bekerja. Jika kami memilih pada Sabtu, semua anak-anak perlu ikut sekali berkursus kerana Iffah ke kelas Darjah Khas. Banyak kali juga kami berdua pergi kursus pada hari berlainan. Saya pergi kursus pada Jumaat dan Aza pergi kursus pada hari Sabtu. Dan banyak kali juga anakku mengikut kami hadir kursus.

Jika saya outstation, saya akan mencari tempat kursus yg terhampir dengan tempat saya outstation. Ada satu ketika saya bertugas di  KL  pada hujung minggu. Lokasi terhampir untuk berkursus haji ialah di Masjid KEMENTAH di Keramat. Bagaimana dengan tugas ku  semasa hadiri kursus haji? Tempoh kursus hanya 2 jam sahaja & ramai teman sepejabat boleh membantu semasa ketiadaan ku.  Itulah keindahan ibadah haji. Allah akan membantu kita dan menunjukkan jalan untuk kita. Ada sekali saya  ke luar negara selama 4 hari,  jadi minggu tersebut saya ke kursus yang  diadakan pada Rabu malam. Jadual kursus & topik yang sama pada tiap minggu seluruh Malaysia memudahkan saya untuk boleh berada dimana-mana  untuk hadiri kursus walaupun tidak berada di JB pada minggu tersebut. Jadual dan lokasi kursus boleh di dapati web TH.

Alhamdulillah, Allah permudahkan semua urusan kami. Semua kursus asas haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji dapat dihadiri dengan jayanya tanpa ponteng walaupun sekali.

Jika anda berminat mendapatkan catatan Travelog Haji 1 - Travelog Haji 26 secara percuma, email kepada msyazli@gmail.com

Pautan Travelog Haji : Aku Menyahut SeruanMu tahun 2016/1437H:


Travelog Haji  ini merupakan coretan saya ketika menunaikan ibadat Haji  pada tahun 2016 / 1437H. Ya Allah, aku mohon ampun jika apa yang ditulis ini boleh menimbulkan perasaan riak dalam diri ini.

Travelog  ini bukan panduan mengerjakan Haji dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan kepada pembaca tentang apa yang perlu dilakukan apabila berada di tanah suci nanti. Semoga bakal Jemaah Haji dapat melakukan ibadah dengan lebih baik dari apa yang telah saya lalui

msyazli@gmail.com

No comments:

Post a Comment